Friday, May 30, 2014

Penambahbaikan PBS







Sejak akhir Mac lalu, beberapa penambahbaikan telah dilakukan terhadap PBS. Penambahbaikan dalam PBS ini mengambilkira beberapa komen dan cadangan yang dikemukakan oleh persatuan guru dan juga ahli akademik lain. Berikut ialah dapatan Penambahbaikan Dalam PBS dan Perbezaannya dengan PBS yang terdahulu.

Penambahbaikan 1 : DSP ditukarkan sebagai PPPM
Masalah :
1. Dokumen Standard Prestasi dikatakan terlalu rigid dan terikat.
2. Guru terbeban kerana perlu mentaksir mengikut pernyataan evidens

Penyelesaian :
1. Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid lebih fleksibel.
2. PPPM lebih membantu guru memberi fokus lebih kepada pdp.
3. Pernyataan evidens ditiadakan supaya guru tidak terikat dengan pernyataan evidens.
4. Fail Perkembangan Murid, Fail Showcase dan Rekod Transit juga ditiadakan.


Penambahbaikan 2 : SPPBS direkodkan Secara Offline
Masalah :
1. Masalah capaian yang perlahan
2. Rekabentuk sistem kurang mesra pengguna
3. Kemudahan dan prasarana belum lengkap

Penyelesaian :
1. Rekod secara offline dan bebas mengikut kesesuaian masa guru
2. Menyediakan pelaporan perkembangan pembelajaran murid untuk makluman ibubapa
3. Tiada masalah untuk akses internet lagi.


Penambahbaikan 3 : PMR digantikan dengan PT3
Masalah :
1. PMR ialah peperiksaan berpusat
2. PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan

Penyelesaian :
1. PT3 (Pentaksiran Tingkatan 3) menggantikan PMR
2. Bukan peperiksaan berpusat
3. Sekolah bertanggungjawab mentadbir, mentaksir, memberi skor dan mengeluarkan pelaporan

Wednesday, May 28, 2014

Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR: Bahasa Melayu & Sains.

Pulau Meranti, 28 Mei 2014 - Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR SK Pulau Meranti telah menganjurkan dua buah bengkel teknik menjawab soalan UPSR bagi murid-murid tahun 6. Panitia Bahasa Melayu telah mengadakan bengkel teknik menjawab soalan yang bermula jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi. Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Mohd. Yazid nin Sulaiman, Guru Besar SK Sri Saujana, Kuala Lumpur. Encik Mohd. Yazid banyak memberikan tips untuk menjawab kertas Penulisan UPSR.

Pada jam 11.30 pagi pula, bengkel teknik menjawab soalan UPSR Sains telah diadakan. Bengkel anjuran Panitia Sains ini telah disampaikan oleh Puan Norasmawati binti Omar dari SK Taman Putra Perdana. Beliau telah berkongsi banyak tip atau panduan berkisar cara-cara untuk menjawab soalan bahagian B. Bahagian B merupakan bahagian yang sukar dijawab oleh murid. Diharapkan semua 52 orang murid tahun 6 yang hadir dapat memanfaatkan ilmu yang telah diberikan. Pihak sekolah mengucapkan syabas dan tahniah kerana telah hadir ke bengkel teknik menjawab ini. Kepada 26 orang murid yang tidak dapat hadir sememangnya amatlah rugi kerana telah terlepas peluang keemasan ini. Harapan guru-guru tahun 6 agar semua murid dapat mengaplikasikan ilmu yang telah diperolehi daripada program ini semasa menjawab kertas soalan sebenar UPSR nanti. Sepanjang cuti sekolah ini, diharapkan dapat memanfaatkan dengan mengulangkaji pelajaran. "Cuti-cuti juga, buku jangan dilupa!!"


Encik Mohd Yazid memberikan tip-tip karangan UPSR kepada murid-murid


Murid-murid bersungguh-sungguh memberi perhatian


Puan Noni menyampaikan ucapan penutup
Bengkel Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu

Puan Norasmawati binti Omar memberikan penerangan kepada murid-murid


Murid-murid membuat latihan yang diberikan

Tuesday, May 27, 2014

Mesyuarat Jawatankuasa PIBG kali ke-3.

Pulau Meranti, 27 Mei 2014 - Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-3 telah dijalankan pada malam tadi bertempat di Bilik Mesyuarat. Mesyuarat yang bermula jam 8 malam dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd Mahzan bin Tamyis, Yang Dipertua PIBG tersebut bertujuan membincangkan perkara-perkara berbangkit serta merancang solusi terhadap perkara-perkara baharu. Mesyuarat kali ini menyaksikan penglibatan kali pertama oleh Puan Siti Habsah binti Ahmad, Guru Besar SK Pulau Meranti selaku penasihat PIBG yang baru. Mesyuarat ditangguhkan jam 11 malam.

YDP PIBG, Tuan Haji Mohd Mahzan mempengerusikan mesyuarat

Ahli-ahli jawatankuasa PIBG meneliti minit mesyuarat yang lalu

Barisan penolong kanan turut hadir sebagai tulang belakang PIBG

Ucapan sulung oleh Puan Nora binti Yusof setelah dilantik sebagai
GPK Kokurikulum yang baru di hadapan AJK PIBG 

Pelantikan GPK Kokurikulum: Tahniah dan Selamat Bertugas!

Pulau Meranti, 27 Mei 2014 - Puan Nora binti Yusof telah dilantik menjawat jawatan sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di SK Pulau Meranti ini berkuatkasa mulai tarikh 1 Mei 2014. Pelantikan ini sekaligus mengisi kekosongan jawatan GPK Kokurikulum di sekolah ini berikutan persaraan mantan GPK Kokurikulum, Puan Shamsiah Fakhih binti Abdullah yang telah bersara.

Puan Nora binti Yusof: GPK Kokurikulum SK Pulau Meranti
Kelihatan Puan Nora (berbaju kurung hijau) menyertai barisan pentadbir
semasa perhimpunan rasmi sekolah hari Isnin lalu

Di samping itu, untuk makluman, Puan Azizah binti Mokhlas yang merupakan ustazah di sekolah ini juga telah dilantik sebagai GPK Kokurikulum di SK Taman Putra Perdana. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau atas segala sumbangsih yang telah dicurahkannya sepanjang berkhidmat di sekolah ini. Tahniah buat Puan Nora dan Puan Azizah. Selamat bertugas!.

Puan Azizah binti Mokhlas: GPK Kokurikulum SK Taman Putra Perdana

Isra' & Mikraj: Mendamba Cinta Rasul.

Pulau Meranti, 27 Mei 2014 - Bersempena dengan Isra' & Mikraj pada hari ini, satu ceramah berkisar tentang peristiwa besar dalam sejarah Islam tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Helmi bin Jumri pada pagi tadi. Murid-murid mendengar dengan penuh khusyuk dalam menyusuri zaman kegemilangan baginda satu masa dahulu. Semoga segala ilmu dan maklumat akan dapat dicerna dengan baik oleh setiap murid. Selawat dan salam buat baginda, Rasulullah SAW.

Di kesempatan ini, pihak sekolah mengucapkan SELAMAT BERCUTI kepada semua murid SK Pulau Meranti. Jaga diri, jaga keselamatan dan selesaikan semua kerja sekolah yang telah diberikan. Cuti-cuti juga, buku jangan dilupa! Semoga kita berjumpa lagi nanti pada tarikh 16 Jun 2014. Insya-Allah.

Ustaz Helmi menyampaikan ceramah berkisar peristiwa Isra' dan Mikraj

Murid-murid khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Helmi

Monday, May 26, 2014

Laporan Perhimpunan Minggu ke-21: Gotong-Royong.

Tarikh: 26 Mei 2014
Masa: 7.45-8.15 pagi
Tempat: Tapak perhimpunan

Guru bertugas:

1. Encik Muazam bin Mohd Yunus
2. Puan Ainul Fathiah binti Muhd Fauzi
3. Puan Salinda binti Kadri
4. Puan Norsaliza binti Abd Ghani

Laporan:

1. Nyanyian, bacaan doa dan ikrar

  • Nyanyian lagu Negaraku, Negeri Selangor dan lagu sekolah
  • Bacaan doa oleh Muhammad Abu Bakar Ash-Shiddiq bin Mohd Mahzan
  • Bacaan ikrar Rukun Negara dan ikrar murid oleh Nurzafirah binti Fairuz Zamer
  • Bacaan ikrar keselamatan jalanraya oleh Ahmad Haiqal Aiman bin Abdul Hadi

2. Laporan guru bertugas pada minggu lepas: Encik Nordin bin Mat Hussin

  • Murid-murid dilarang untuk berlari-lari dan duduk di atas tiang atau tempat-tempat yang bukan sepatutnya di tempat menunggu bas ketika waktu balik.
  • Murid-murid dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri ketika menunggu bas/van/ibu bapa untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku

3. Ucapan guru bertugas minggu ini: Encik Muazam bin Mohd Yunus

  • Tema: Gotong-royong
  • Maksud Gotong-royong (bahasa mudah): bekerjasama dan tolong-menolong dalam melakukan sesuatu perkara/pekerjaan
  • Gotong-royong dalam Bahasa Inggeris: To work together / Mutual cooperation
  • Murid-murid boleh mempraktikkan amalan gotong-royong seperti bekerjasama membersihkan kelas, membantu membuka dewan sekolah dan lain-lain
  • Antara faedah daripada aktiviti gotong-royong ialah meringankan beban sesuatu kerja, mengeratkan perpaduan, menjimatkan masa dan kerja menjadi lebih sistematik
  • Megingatkan murid-murid Tahun 6 supaya lebih fokus kerana masa berlalu begitu pantas.

4. Pengumuman pemenang kelas terbersih mingguan: Unit 3K

  • Kelas Terbersih Mingguan Tahap 1: 3 Gemilang
  • Kelas Terbersih MingguanTahap 2: 5 Gemilang

5. Ucapan Guru Besar: Puan Siti Habsah binti Ahmad

  • Guru Besar mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan murid Tahun 6 atas kehadiran dan komitmen terhadap program 'Sentuhan Kasih' pada hari Jumaat yang lalu. Semoga bermanfaat.
  • Guru Besar memperkenalkan GPK Kokurikulum yang baru menggantikan Puan Shamsiah Fakhih binti Abdullah iaitu Puan Nora binti Yusof. Beliau juga memaklumkan bahawa Ustazah Azizah binti Mokhlas juga telah dilantik menjadi GPK Kokurikulum di SK Taman Putra Perdana.
  • Guru Besar mengingatkan murid-murid tentang cuti sekolah yang akan bermula hari Rabu ini sehingga Ahad, 15 Jun 2014. Murid-murid mesti menyiapkan tugasan/kerja sekolah semasa cuti berpandukan senarai semak yang akan dibekalkan oleh guru kelas mulai hari ini.
  • Murid-murid Tahun 6 perlu sedar kerana sebaik sekolah dibuka semula kelak, UPSR hanya tinggal 87 hari sahaja lagi. Gunakan masa cuti sepenuhnya dan hadir ke bengkel dan kelas tambahan mengikut ketetapan jadual yang pihak sekolah telah tetapkan.

6. Perhimpunan bersurai pada jam 8.00 pagi kerana Unit Disiplin dan Pengawas menjalankan pemeriksaan mengejut (spot-check) terhadap murid-murid.

Bacaan doa oleh Muhammad Abu Bakar Ash-Shiddiq

Ucapan guru bertugas minggu lepas: Encik Nordin bin Mat Hussin

Ucapan oleh Puan Siti Habsah binti Ahmad, Guru Besar SK Pulau Meranti

Pemeriksaan mengejut: Spot-check!

Salah seorang murid yang berambut panjang dikesan semasa spot-check 

Makluman: Bengkel & Kelas Tambahan Cuti Sekolah Tahun 6.

Assalammualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera.

Sekolah akan mula bercuti pada 28 Mei 2014 hingga 15 Jun 2014. Bagi murid tahun 6, Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Bahasa Melayu dan Sains akan diadakan pada hari Rabu - 28 Mei 2014. Seterusnya, kelas tambahan akan diadakan pada hari Khamis dan Jumaat. Diharapkan semua murid tahun 6 dapat menghadiri bengkel dan kelas tambahan ini. Diharapkan juga ibubapa dapat memastikan anak-anak hadir sepenuhnya. Pesanan sekolah kepada murid-murid tahun 6 supaya menggunakan masa terluang pada waktu cuti ini untuk mengulangkaji pelajaran. Jangan lupa juga kerja rumah yang telah diberi oleh guru-guru. Selamat bercuti!

Jadual Waktu Bengkel Menjawab dan Kelas Tambahan Tahun 6

Friday, May 23, 2014

Program Sentuhan Kasih: Menyulam Kasih, Mematri Keinsafan

Pulau Meranti, 23 Mei 2014 - Deraian air mata yang gugur daripada setiap kelopak mata murid-murid Tahun 6 nyata mengundang rasa keinsafan yang mendalam dalam diri masing-masing, apatahlagi dengan hadirnya ibu bapa; insan yang paling banyak berkorban selama hampir 12 tahun. Penyampaian yang bersahaja namun tersirat kalisan sentuhan kalbu oleh penceramah jemputan, Encik Saiful Anuar bin Haji Basran benar-benar memberi impak di keheningan malam yang penuh barakah sebentar tadi. Program 'Sentuhan Kasih' yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Kaunseling SK Pulau Meranti ini bertujuan mencetuskan kesedaran dalam diri murid-murid Tahun 6 tentang peranan dan tanggungjawab sebagai murid serta sedar akan pengorbanan ibu bapa. Di samping itu, program ini turut bermatlamat memberi semangat mentaliti dan emosi dalam meniti hari-hari yang berbaki sebelum menjengah ke dewan peperiksaan UPSR kelak. Semoga input yang diperoleh pada malam ini akan dipraktikkan secara istiqamah. Insya-Allah. 

Antara yang hadir ke program 'Sentuhan Kasih'

Para hadirin khusyuk menghayati isi sentuhan kalbu oleh Encik Saiful Anuar

Sesi bermaafan dan pelukan kasih bersama ibu bapa

Kasih ayah tiada pengganti

Hari Bicara Akademik

Pulau Meranti, 23 Mei 2014 - Hari Bicara Akademik (dahulunya dikenali dengan nama Hari Terbuka Sekolah) telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi. Sejumlah ibu bapa/penjaga hadir bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan prestasi akademik anak masing-masing. Program dimulakan dengan bacaan Yaasin di dewan sekolah. Setelah itu, ibu bapa/penjaga bergerak menuju ke kelas bagi sesi bersama guru kelas. Pelbagai dokumen dan laporan dibentangkan kepada setiap ibu bapa/penjaga seperti slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun, laporan adab belajar dan prestasi pentaksiran PBS. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada ibu/bapa dan penjaga yang telah hadir dan memberikan komitmen yang tinggi terhadap pelajaran anak masing-masing.

Sesi bersama guru kelas

Wednesday, May 21, 2014

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor 2014

Sepang, 21 Mei 2014 - Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat negeri Selangor telah berlangsung di Hotel Sama-Sama KLIA pada pagi tadi.  Majlis telah dirasmikan oleh Dato' Mazlan Pengarah Bahagian pengurusan Sekolah Harian yang mewakili Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti telah dilantik sebagai Jawatankuasa Persembahan sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Selangor. Anak-anak Galang Maya telah memeriahkan majlis dengan mempersembahkan tiga jenis tarian iaitu Tarian Kuda Kepang Futuristik, Rampaian Tradisional dan Nirmala. 


Anak-anak Galang Maya SK Pulau Meranti

Bergambar bersama Puan Guru Besar, Puan Siti Habsah binti Ahmad

Anak-anak Galang Maya bersedia untuk melakukan persembahan 'overture'

Laporan disediakan oleh: Yusnur Aida Binti Yusof.

Tuesday, May 20, 2014

Laporan Perhimpunan Minggu ke-20: Kerjasama

Tarikh: 19 Mei 2014
Masa: 7.45-8.15 pagi
Tempat: Tapak perhimpunan

Guru bertugas:

1. Encik Nordin bin Mat Hussin
2. Puan Che Mariah binti Ngah
3. Puan Siti Juitah binti Ibrahim
4. Puan Nurhafizah binti Udin

Laporan:

1. Nyanyian, bacaan doa dan ikrar

  • Nyanyian lagu Negaraku, Negeri Selangor dan lagu sekolah
  • Bacaan doa oleh Ahmad Alif Rahimi bin Kamaruzzaman
  • Bacaan ikrar Rukun Negara oleh Muhammad Alif Dzaqwan bin Hasniruddin
  • Bacaan ikrar murid oleh Edlyn Abnesha a/p Santhakumaran
  • Bacaan ikrar keselamatan jalanraya oleh Nur Alissa Aisyah bt Azlan

2. Laporan guru bertugas pada minggu lepas: Pn. Hayati bt Kamis

  • Murid terutama kelas yang perlu membuka kasut diingatkan supaya memakai kasut apabila keluar daripada kelas.
  • Murid juga diingatkan supaya memakai pas keluar apabila keluar dari kelas.

3. Ucapan guru bertugas minggu ini: Encik Nordin bin Mat Hussin

  • En. Nordin memberi ucapan bertema kerjasama. En. Nordin memberi contoh semut yang sentiasa bekerjasama melakukan kerja. Murid-murid diingatkan betapa pentingnya melakukan sesuatu kerja dalam kumpulan. Bantu membantu boleh meringankan kerja.

4. Pengumuman pemenang kelas terbersih mingguan: Puan Nasibah binti Sairi

  • Kelas Terbersih Mingguan Tahap1: 3G
  • Kelas Terbersih MingguanTahap 2: 4G
  • Kelas Terbersih Keseluruhan bulan Mac: 5G
  • Kelas Terbersih Keseluruhan bulan April: 3G

5. Pengumuman pemenang pertandingan sukan sempena Hari Guru: Encik Nordin bin Mat Hussin

  • Bola Sepak: Pasukan Guru Lelaki
  • Bola Jaring: Pasukan Guru Perempuan

6. Ucapan Guru Besar: Puan Siti Habsah binti Ahmad

  • Guru Besar mengucapkan terima kasih kepada semua guru dan murid atas sambutan Hari Guru yang telah berjaya diadakan pada Jumaat minggu lepas. Beliau mengingatkan murid supaya sentiasa menghargai dan mendegar nasihat guru pada setiap masa.
  • Guru Besar mengingatkan murid-murid tentang Hari Terbuka yang akan diadakan pada hari Jumaat, 23 Mei 2014. Waktu berurusan adalah dari jam 8.30 hingga 10.30 pagi.
  • Beliau mengingatkan murid Tahun 6 pada hari Jumaat itu juga program motivasi bersama ibubapa akan diadakan pada sebelah malam.

7. Perhimpunan bersurai pada jam 8.10 pagi. Guru-guru masa pertama mengambil dan mengiringi murid-murid di tapak perhimpunan menuju ke kelas.


Guru yang bertugas minggu lepas, Pn. Hayati memberikan laporan

Encik Nordin mewakili guru yang bertugas minggu ini memberikan ucapan

Ustazah Nasibah mengumumkan kelas terbersih minggu ini 
Pemenang kelas terbersih keseluruhan bulan Mac, kelas 5G

Pemenang kelas terbersih keseluruhan bulan April, kelas 3G

Guru Besar, Pn. Siti Habsah menyampaikan hadiah kepada pemenang bola sepak pada Hari Guru

Pemenang pertandingan bola jaring pada Hari Guru

Guru Besar, Pn. Siti Habsah menyampaikan ucapan beliau

Saturday, May 17, 2014

Kem Bestari Solat Fasa 2/2014

Pulau Meranti, 17 Mei 2014 - Kem Bestari Solat Fasa ke-2 bagi tahun 2014 telah berjalan dengan lancar pada pagi tadi. Program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam, Puan Roshida binti Nayan. Ini diikuti dengan pembahagian tugas guru-guru sebagai fasilitator mengikut kelas. Pelbagai aspek berkaitan amali solat diajar dan diuji. Antaranya aspek bacaan doa dalam sembahyang, praktikal wuduk dan praktikal solat.

Taklimat ringkas di tapak perhimpunan

Praktikal wuduk

Praktikal amali solat

Friday, May 16, 2014

Sambutan Hari Guru 2014: Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi

Pulau Meranti, 16 Mei 2014 - Sambutan Hari Guru 2014 peringkat SK Pulau Meranti telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi. Hujan rahmat yang membasahi bumi Pulau Meranti sejak awal pagi mewujudkan suasana yang tenang dan damai. Bertemakan rona warna hijau, majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin dan doa selamat sempena Hari Guru. Setelah itu, bacaan perutusan oleh GPK Pentadbiran, Encik Mohd Azmin bin Atan. Ucapan Guru Besar SK Pulau Meranti, Puan Siti Habsah binti Ahmad menyusul selepas itu. Slot seterusnya diisi dengan upacara bacaan ikrar guru serta nyanyian tiga buah lagu iaitu Negaraku,  Guru Malaysia dan Transformasi Pendidikan Negara. Sesi potong kek Hari Guru disempurnakan oleh Puan Guru Besar bersama barisan pentadbir.

Bacaan Yaasin dan doa selamat dipimpin oleh Ustaz Helmi
Ucapan oleh Puan Siti Habsah binti Ahmad, Guru Besar SK Pulau Meranti
Kek Hari Guru


Sketsa lakonan guru-guru serta persembahan deklamasi puisi dan nyanyian oleh murid-murid mewarnai persembahan pada pagi tadi. Enam anugerah khas diberikan kepada guru-guru serta staf berdasarkan undian oleh murid-murid. Anugerah Guru Penyayang Lelaki dirangkul oleh Encik Yusnizan bin Ahmad Marzuki. Bagi Guru Penyayang Wanita dianugerahkan kepada Puan Sugunah a/p Ramamoorthy. Encik Daud bin Aris mengungguli undian Guru Bergaya Lelaki bagi 4 tahun berturut-turut. Puan Rose Halina binti Jedin pula untuk kategori Guru Bergaya Wanita. Anugerah Guru Paling Popular dinobatkan kepada Encik Gopi a/l Rangaya. Untuk Anugerah Staf Paling Popular diberikan kepada Encik Bani Amin bin Haji Omar.

Pertandingan bola sepak antara guru dan murid

Pertandingan bola jaring

Pertandingan bola sepak dan bola jaring antara guru - murid merupakan acara kemuncak di padang. Dalam pertandingan bola sepak, pasukan guru telah menewaskan pasukan murid dengan jaringan 1 - 0. Majlis berakhir pada jam 12.05 tengah hari.

Selamat Hari Guru!