Friday, May 23, 2014

Program Sentuhan Kasih: Menyulam Kasih, Mematri Keinsafan

Pulau Meranti, 23 Mei 2014 - Deraian air mata yang gugur daripada setiap kelopak mata murid-murid Tahun 6 nyata mengundang rasa keinsafan yang mendalam dalam diri masing-masing, apatahlagi dengan hadirnya ibu bapa; insan yang paling banyak berkorban selama hampir 12 tahun. Penyampaian yang bersahaja namun tersirat kalisan sentuhan kalbu oleh penceramah jemputan, Encik Saiful Anuar bin Haji Basran benar-benar memberi impak di keheningan malam yang penuh barakah sebentar tadi. Program 'Sentuhan Kasih' yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Kaunseling SK Pulau Meranti ini bertujuan mencetuskan kesedaran dalam diri murid-murid Tahun 6 tentang peranan dan tanggungjawab sebagai murid serta sedar akan pengorbanan ibu bapa. Di samping itu, program ini turut bermatlamat memberi semangat mentaliti dan emosi dalam meniti hari-hari yang berbaki sebelum menjengah ke dewan peperiksaan UPSR kelak. Semoga input yang diperoleh pada malam ini akan dipraktikkan secara istiqamah. Insya-Allah. 

Antara yang hadir ke program 'Sentuhan Kasih'

Para hadirin khusyuk menghayati isi sentuhan kalbu oleh Encik Saiful Anuar

Sesi bermaafan dan pelukan kasih bersama ibu bapa

Kasih ayah tiada pengganti
Post a Comment