Tuesday, March 8, 2016

Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-41 2016

Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga dipanjatkan kepadaNYA yang telah memperkenankan doa kami agar segala perancangan yang diatur sejak berminggu lalu berjaya dilaksanakan. Seperti dirancang, pada 5 Mac 2016 bersamaan dengan hari Sabtu yang lalu, Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) SK Pulau Meranti telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-41.

Seperti yang dijangka, waris mula datang seawal 7.45 pagi walaupun dalam surat jemputan dimaklumkan pendaftaran bermula jam 8.00 pagi. Kehadiran waris adalah kurang memuaskan memandangkan ada kematian di Kampung Pulau Meranti pada hari kejadian. Mujurlah ahli jawatankuasa yang dimandatkan untuk menjaga kaunter pendaftaran datang lebih awal untuk membuat persiapan terakhir di kaunter pendaftaran.

Mesyuarat Agung kali ini dirasmikan YB Tuan Shahrum Bin Dato’ Hj. Mohd Shariff. Seusai memberi sedikit gambaran kasar mengenai sekolah dan perubahan sistem pendidikan semasa dalam ucapannya, beliau merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-41. Sebelum beliau meninggalkan majlis, disebabkan urusan yang tidak dapat dielakkan, beliau telah menyumbang RM5,000, dimana RM3,000 untuk projek dataran berbumbung, dan RM2,000 pula sumbangan untuk tabung PIBG.

Sebelum berlangsung Mesyuarat Agung, Tuan NYDP, Datuk Hasnan Bin Abdullah telah meminta diri untuk meninggalkan majlis kerana ada program yang memerlukan kehadiran beliau. Beliau dengan berbesar hati telah berjanji untuk memberikan sumbangan RM5,000 untuk projek dataran berbumbung.

Mesyuarat Agung kali ini dipengerusikan oleh YDP PIBG, Datuk Hj Mohd Mahzan Bin Tamyiz. Beliau berjaya mengendalikan dan memimpin mesyuarat dengan lancar dan terkawal. Banyak hal telah dibincangkan sepanjang mesyuarat berlangsung. Mesyuarat telah berakhir pada jam 11.30 pagi. Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh warga SK Pulau Meranti yang memberikan kerjasama dan komitmen tidak berbelah bahagi demi menjayakan majlis ini.

Gambar Aktiviti:
















No comments: