Saturday, April 26, 2014

MERKUR1: Kem Perdana Zoom A.

Putra Perdana, 26 April 2014 - Seramai 12 orang murid Tahun 6 dari SK Pulau Meranti terpilih untuk mengikuti Kem Perdana Zoom A di bawah program Memperkasa Kecemerlangan UPSR 1Malaysia (Merkur1) bagi Zon Cyberjaya di SK Taman Putra Perdana pagi tadi. Mereka diiringi oleh 4 orang guru iaitu Puan Nurhafizah bt Udin, Puan Hayati bt Kamis, Encik Daud bin Aris dan Encik Muazam bin Mohd Yunus. Terdapat 4 buah sekolah lain yang turut menyertai Kem Perdana Zoom A ini iaitu SK Taman Putra Perdana, SK Taman Putra Perdana 2, SK Cyberjaya dan SJK (C) Sin Ming. Majlis yang bermula seawal jam 9 pagi itu dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Shahrum bin Mohd Sharif, ADUN Dengkil. Turut hadir ialah Tuan Haji Sailan bin Misran, PPPD Teknik & Vokasional dan Encik Sukimin bin Juki, Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Sepang. Murid-murid mengikuti Kem Perdana dengan menjawab soalan latih tubi secara atas talian di laman web Zoom A bersama fasilitator di Makmal Komputer. Majlis bersurai sekitar jam 12.30 tengah hari. 

Ucapan oleh Tuan Haji Sailan bin Misran, PPPD Teknik & Vokasional

Wakil murid SK Pulau Meranti - Mashitah, Sofia Lisa, Ros Dayana dan Aina Afnisa

Kelihatan Hamizan dan Alia Syamimi (berbaju kuning) tekun menjawab soalan Zoom A

Bergambar bersama Guru Penyelaras Tahun 6, Puan Nurhafizah bt Udin

Thursday, April 24, 2014

Belasungkawa.

Pulau Meranti, 24 April 2014 - Ayahanda kepada salah seorang guru Pra Sekolah SK Pulau Meranti iaitu Puan Diana binti Yusof telah kembali ke rahmatullah pada 12 April 2014 yang lalu. Badan Kebajikan Guru dan Staf (BKGS) telah mengadakan kutipan derma kilat untuk membantu beliau. Justeru, satu majlis khas penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan pada petang semalam semasa mesyuarat jawatankuasa BKGS. Semoga Puan Diana terus tabah dan redha'. Salam takziah. Al-Fatihah.

Presiden BKGS, Encik Ibrahim bin Zainuddin menyampaikan sumbangan kepada Puan Diana

Wednesday, April 23, 2014

Perlawanan Bola Sepak dan Bola Jaring antara Rumah Sukan.

Pulau Meranti, 23 April 2014 - Rumah Merah bergelar Juara untuk bola sepak manakala rumah Kuning merupakan Johan untuk bola jaring dalam perlawanan antara rumah-rumah sukan pada petang tadi. Perlawanan yang bermula pada jam 2.30 petang itu menyaksikan rumah-rumah sukan bersaing sengit demi mengumpul mata untuk rumah sukan masing-masing. Perlawanan ini memberi fokus kepada penglibatan murid-murid tahun 3, 4 dan 5 dalam usaha mencungkil bakat-bakat baru untuk kejohanan MSSD Sepang tahun hadapan. Majulah sukan untuk SKPM!

Taklimat tentang undang-undang perlawanan oleh Puan Saliza bt. Salleh, Setiausaha Kokurikulum

Potret pasukan rumah Hijau dan rumah Biru

Suasana semasa perlawanan bola sepak yang diadili oleh Encik Gopi a/l Rangaya

Perlawanan bola jaring menyaksikan rumah Kuning muncul Juara!



Monday, April 21, 2014

Selamat Datang, Puan Guru Besar!.

Pulau Meranti, 21 April 2014 - Perhimpunan pada pagi tadi diserikan dengan kehadiran Puan Guru Besar baru, Puan Siti Habsah binti Ahmad yang menggantikan Puan Hajjah Siti Amarah binti Haji Adnan yang telah bersara pada 4 April yang lalu. Seluruh warga sekolah, guru-guru, staf dan murid-murid mengalu-alukan kedatangan beliau. Puan Siti Habsah merupakan bekas Penolong Kanan Pentadbiran di SK Taman Putra Perdana. Beliau juga pernah berkhidmat di SK Pulau Meranti suatu masa dahulu. Semoga SK Pulau Meranti akan terus melonjakkan potensi dalam setiap kluster kecemerlangannya di bawah bimbingan Puan Siti Habsah. Selamat bertugas, Puan!.

Puan Siti Habsah bt Ahmad (Gambar ihsan dari laman web SKTPP)



Kejohanan Bola Sepak MSSD Sepang (Bawah 12): Juara!

Pulau Meranti, 21 April 2014 - Pasukan Bola Sepak SK Pulau Meranti telah dinobatkan sebagai Johan dalam Kejohanan Bola Sepak MSSD Sepang (Bawah 12) pada hari Jumaat yang lalu. Pasukan yang dibimbing oleh Encik Gopi a/l Rangaya tersebut menumpaskan pasukan dari SK Taman Putra Perdana 2 dengan 1 jaringan berbalas 0. Jaringan emas tersebut dilakukan oleh kapten pasukan, Muhammad Faiz bin Yusof, dari kelas 6 Cemerlang. Para pemain diraikan semasa perhimpunan rasmi pagi tadi. Tahniah diucapkan! 

Pasukan Bola Sepak SK Pulau Meranti bergambar bersama pingat kejohanan