Mekar senyum di wajah berseri;
Selamat ulang tahun wahai penyeri,
Moga ceria sepanjang hari.
Bunga mekar di hujung taman,
Harumnya lembut menyejuk hati;
Kenangan tercipta sepanjang zaman,
Jamuan akhir tahun pengikat memori.
Masih Ada Yang Sayang @Program Amalan Guru Penyayang : Majlis Sambutan Hari Lahir & Jamuan Akhir Tahun 2025 yang berlangsung pada hari ini, 28 November 2025 (Jumaat) di SK Pulau Meranti telah diraikan dengan penuh meriah dan ceria. Majlis dijalankan mengikut sesi persekolahan masing-masing, iaitu sesi pagi dan sesi petang.
Sambutan yang sederhana namun sarat dengan makna ini diadakan bagi meraikan hari lahir murid dari bulan Januari hingga Disember, di samping menghargai kegigihan, usaha dan keceriaan mereka sepanjang tahun. Majlis turut diserikan dengan nyanyian Lagu Hari Lahir dan acara memotong kek yang amat dinanti-nantikan oleh murid. Kegembiraan jelas terpancar apabila setiap murid diraikan sebagai tanda penghargaan atas semangat mereka sepanjang 2025.
Di dalam kelas pula, murid menikmati jamuan bersama guru dalam suasana santai dan penuh kegembiraan. Inilah momen yang mengeratkan hubungan, membina kenangan dan menyemai nilai kasih sayang dalam komuniti sekolah.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada AJK PIBG, ibu bapa /penjaga dan warga guru atas kesudian menyumbang kek serta pelbagai juadah yang memeriahkan majlis. Terima kasih juga kepada pihak sekolah, khususnya Unit Hal Ehwal Murid, Unit Bimbingan dan Kaunseling serta Jawatankuasa Guru Penyayang, atas usaha menyediakan hadiah untuk semua murid dari Prasekolah hingga Tahun 6. Tidak dilupakan, jutaan terima kasih kepada Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) yang membantu menyusun hadiah mengikut bilangan murid setiap kelas dengan penuh dedikasi.
Suasana ceria, wajah yang gembira dan gelak tawa murid menjadikan hari ini sebuah kenangan manis yang terpahat di hati. Semoga semangat “Ceria dan Bersyukur, Kenangan Indah di Hujung Tahun” terus mekar dalam diri setiap warga SKPM, menjadi penyuntik semangat baharu untuk tahun yang mendatang.
Lensa Kamera:Momen Indah Masih Ada Yang Sayang @Program Amalan Guru Penyayang : Majlis Sambutan Hari Lahir & Jamuan Akhir Tahun 2025



























































