Showing posts with label sarana. Show all posts
Showing posts with label sarana. Show all posts

Tuesday, May 27, 2014

Mesyuarat Jawatankuasa PIBG kali ke-3.

Pulau Meranti, 27 Mei 2014 - Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-3 telah dijalankan pada malam tadi bertempat di Bilik Mesyuarat. Mesyuarat yang bermula jam 8 malam dan dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd Mahzan bin Tamyis, Yang Dipertua PIBG tersebut bertujuan membincangkan perkara-perkara berbangkit serta merancang solusi terhadap perkara-perkara baharu. Mesyuarat kali ini menyaksikan penglibatan kali pertama oleh Puan Siti Habsah binti Ahmad, Guru Besar SK Pulau Meranti selaku penasihat PIBG yang baru. Mesyuarat ditangguhkan jam 11 malam.

YDP PIBG, Tuan Haji Mohd Mahzan mempengerusikan mesyuarat

Ahli-ahli jawatankuasa PIBG meneliti minit mesyuarat yang lalu

Barisan penolong kanan turut hadir sebagai tulang belakang PIBG

Ucapan sulung oleh Puan Nora binti Yusof setelah dilantik sebagai
GPK Kokurikulum yang baru di hadapan AJK PIBG 

Friday, May 23, 2014

Program Sentuhan Kasih: Menyulam Kasih, Mematri Keinsafan

Pulau Meranti, 23 Mei 2014 - Deraian air mata yang gugur daripada setiap kelopak mata murid-murid Tahun 6 nyata mengundang rasa keinsafan yang mendalam dalam diri masing-masing, apatahlagi dengan hadirnya ibu bapa; insan yang paling banyak berkorban selama hampir 12 tahun. Penyampaian yang bersahaja namun tersirat kalisan sentuhan kalbu oleh penceramah jemputan, Encik Saiful Anuar bin Haji Basran benar-benar memberi impak di keheningan malam yang penuh barakah sebentar tadi. Program 'Sentuhan Kasih' yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Kaunseling SK Pulau Meranti ini bertujuan mencetuskan kesedaran dalam diri murid-murid Tahun 6 tentang peranan dan tanggungjawab sebagai murid serta sedar akan pengorbanan ibu bapa. Di samping itu, program ini turut bermatlamat memberi semangat mentaliti dan emosi dalam meniti hari-hari yang berbaki sebelum menjengah ke dewan peperiksaan UPSR kelak. Semoga input yang diperoleh pada malam ini akan dipraktikkan secara istiqamah. Insya-Allah. 

Antara yang hadir ke program 'Sentuhan Kasih'

Para hadirin khusyuk menghayati isi sentuhan kalbu oleh Encik Saiful Anuar

Sesi bermaafan dan pelukan kasih bersama ibu bapa

Kasih ayah tiada pengganti

Hari Bicara Akademik

Pulau Meranti, 23 Mei 2014 - Hari Bicara Akademik (dahulunya dikenali dengan nama Hari Terbuka Sekolah) telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi. Sejumlah ibu bapa/penjaga hadir bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan prestasi akademik anak masing-masing. Program dimulakan dengan bacaan Yaasin di dewan sekolah. Setelah itu, ibu bapa/penjaga bergerak menuju ke kelas bagi sesi bersama guru kelas. Pelbagai dokumen dan laporan dibentangkan kepada setiap ibu bapa/penjaga seperti slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun, laporan adab belajar dan prestasi pentaksiran PBS. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada ibu/bapa dan penjaga yang telah hadir dan memberikan komitmen yang tinggi terhadap pelajaran anak masing-masing.

Sesi bersama guru kelas