Showing posts with label Tahun6. Show all posts
Showing posts with label Tahun6. Show all posts

Wednesday, May 28, 2014

Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR: Bahasa Melayu & Sains.

Pulau Meranti, 28 Mei 2014 - Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR SK Pulau Meranti telah menganjurkan dua buah bengkel teknik menjawab soalan UPSR bagi murid-murid tahun 6. Panitia Bahasa Melayu telah mengadakan bengkel teknik menjawab soalan yang bermula jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi. Bengkel ini telah disampaikan oleh Encik Mohd. Yazid nin Sulaiman, Guru Besar SK Sri Saujana, Kuala Lumpur. Encik Mohd. Yazid banyak memberikan tips untuk menjawab kertas Penulisan UPSR.

Pada jam 11.30 pagi pula, bengkel teknik menjawab soalan UPSR Sains telah diadakan. Bengkel anjuran Panitia Sains ini telah disampaikan oleh Puan Norasmawati binti Omar dari SK Taman Putra Perdana. Beliau telah berkongsi banyak tip atau panduan berkisar cara-cara untuk menjawab soalan bahagian B. Bahagian B merupakan bahagian yang sukar dijawab oleh murid. Diharapkan semua 52 orang murid tahun 6 yang hadir dapat memanfaatkan ilmu yang telah diberikan. Pihak sekolah mengucapkan syabas dan tahniah kerana telah hadir ke bengkel teknik menjawab ini. Kepada 26 orang murid yang tidak dapat hadir sememangnya amatlah rugi kerana telah terlepas peluang keemasan ini. Harapan guru-guru tahun 6 agar semua murid dapat mengaplikasikan ilmu yang telah diperolehi daripada program ini semasa menjawab kertas soalan sebenar UPSR nanti. Sepanjang cuti sekolah ini, diharapkan dapat memanfaatkan dengan mengulangkaji pelajaran. "Cuti-cuti juga, buku jangan dilupa!!"


Encik Mohd Yazid memberikan tip-tip karangan UPSR kepada murid-murid


Murid-murid bersungguh-sungguh memberi perhatian


Puan Noni menyampaikan ucapan penutup
Bengkel Teknik Menjawab Soalan Bahasa Melayu

Puan Norasmawati binti Omar memberikan penerangan kepada murid-murid


Murid-murid membuat latihan yang diberikan

Monday, May 26, 2014

Makluman: Bengkel & Kelas Tambahan Cuti Sekolah Tahun 6.

Assalammualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera.

Sekolah akan mula bercuti pada 28 Mei 2014 hingga 15 Jun 2014. Bagi murid tahun 6, Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR Bahasa Melayu dan Sains akan diadakan pada hari Rabu - 28 Mei 2014. Seterusnya, kelas tambahan akan diadakan pada hari Khamis dan Jumaat. Diharapkan semua murid tahun 6 dapat menghadiri bengkel dan kelas tambahan ini. Diharapkan juga ibubapa dapat memastikan anak-anak hadir sepenuhnya. Pesanan sekolah kepada murid-murid tahun 6 supaya menggunakan masa terluang pada waktu cuti ini untuk mengulangkaji pelajaran. Jangan lupa juga kerja rumah yang telah diberi oleh guru-guru. Selamat bercuti!

Jadual Waktu Bengkel Menjawab dan Kelas Tambahan Tahun 6

Friday, May 23, 2014

Program Sentuhan Kasih: Menyulam Kasih, Mematri Keinsafan

Pulau Meranti, 23 Mei 2014 - Deraian air mata yang gugur daripada setiap kelopak mata murid-murid Tahun 6 nyata mengundang rasa keinsafan yang mendalam dalam diri masing-masing, apatahlagi dengan hadirnya ibu bapa; insan yang paling banyak berkorban selama hampir 12 tahun. Penyampaian yang bersahaja namun tersirat kalisan sentuhan kalbu oleh penceramah jemputan, Encik Saiful Anuar bin Haji Basran benar-benar memberi impak di keheningan malam yang penuh barakah sebentar tadi. Program 'Sentuhan Kasih' yang dianjurkan oleh Unit Bimbingan Kaunseling SK Pulau Meranti ini bertujuan mencetuskan kesedaran dalam diri murid-murid Tahun 6 tentang peranan dan tanggungjawab sebagai murid serta sedar akan pengorbanan ibu bapa. Di samping itu, program ini turut bermatlamat memberi semangat mentaliti dan emosi dalam meniti hari-hari yang berbaki sebelum menjengah ke dewan peperiksaan UPSR kelak. Semoga input yang diperoleh pada malam ini akan dipraktikkan secara istiqamah. Insya-Allah. 

Antara yang hadir ke program 'Sentuhan Kasih'

Para hadirin khusyuk menghayati isi sentuhan kalbu oleh Encik Saiful Anuar

Sesi bermaafan dan pelukan kasih bersama ibu bapa

Kasih ayah tiada pengganti

Wednesday, May 14, 2014

Bengkel Teknik Menjawab Kertas Soalan UPSR: Bahasa Inggeris.

Pulau Meranti, 14 Mei 2014 - Bengkel teknik menjawab kertas soalan Bahasa Inggeris UPSR telah dijalankan pada pagi tadi bertempat di dewan SK Pulau Meranti. Seramai 68 calon UPSR tahun ini yang merupakan murid-murid Tahun 6 mengikuti bengkel yang berjalan selama hampir 2 jam tersebut. Pelbagai teknik dikongsi oleh penceramah jemputan, Puan Kwa Jin Nee, Pegawai SISC+ dari PPD Sepang. Guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris turut mendengar tips daripada beliau. Fokus diberikan kepada teknik menjawab kertas 2 dalam konteks pembinaan ayat. Murid-murid kemudiannya membuat soalan latih-tubi bersama-sama dengan beliau. Semoga segala input yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua calon dan guru-guru Bahasa Inggeris. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Kwa Jin Nee atas bimbingan dan nasihat yang bermanfaat dalam usaha meningkatkan prestasi kecemerlangan untuk kertas 014 - Bahasa Inggeris khususnya.

Murid-murid Tahun 6 khusyuk mengikuti bengkel bersama Puan Kwa Jin Nee

Latih tubi secara hands-on: formula TPAP untuk Bahagian A, Kertas 2