Saturday, November 14, 2026

PROGRAM KEIBUBAPAAN " KELUARGA SEJAHTERA, ANAK CEMERLANG" SKPM TAHUN 2026

Tarikh: 14 November 2026 (Sabtu)

Masa: 8.00 pagi – 12.00 tengah hari

Tempat: Dewan Seri Meranti, SK Pulau Meranti

Anjuran: Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Meranti

Unit Bimbingan dan Kaunseling dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pulau Meranti telah menganjurkan "Program Keibubapaan “Keluarga Sejahtera, Anak Cemerlang” pada 14 November 2026 (Sabtu), bertempat di Dewan Seri Meranti, SK Pulau Meranti. Program yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah mendapat pengisian daripada penceramah jemputan, Tuan Haji Bakhtiar Fitri bin Haji Abdul Hamid, Pengarah Urusan / Perunding Utama NADI ILMU Training Management merangkap Certified HRDC Trainer.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan ibu bapa tentang kepentingan peranan serta tanggungjawab mereka dalam membentuk keluarga yang harmoni, sejahtera dan bahagia. Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada ibu bapa tentang pendekatan keibubapaan yang berkesan dalam mendidik, membimbing serta membentuk sahsiah dan potensi anak-anak agar menjadi insan yang cemerlang dari segi akademik, emosi, sosial dan tingkah laku.

Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang memperoleh pelbagai perkongsian ilmu, panduan dan tip keibubapaan yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Pengisian yang disampaikan turut menekankan kepentingan komunikasi berkesan, hubungan erat antara ibu bapa dengan anak-anak serta persekitaran keluarga yang positif dalam menyokong perkembangan dan kecemerlangan anak-anak.

Program turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menambahkan lagi kemeriahan suasana serta memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada para peserta.

Diharapkan program seumpama ini dapat memberikan manfaat dan impak positif kepada semua ibu bapa dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta meningkatkan kerjasama antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Sesungguhnya, kejayaan dan kecemerlangan anak-anak bukan hanya bergantung kepada usaha pihak sekolah, malah memerlukan sokongan, kasih sayang, perhatian dan bimbingan berterusan daripada ibu bapa.


  

 




Kaunter Pendaftaran


Ucapan En. Khairil Anuar Bin Othman, Guru Besar SKPM

Ucapan Perasmian oleh Pn. Norasmawati Binti Omar, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Sepang, Unit Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid






Sesi Soal Jawab

Ceramah " Komunikasi Berkesan dan Pengurusan Emosi Anak-Anak Oleh Tuan Haji Bakhtiar Fitri Bin Haji Abdul Hamid


Penyampaian cabutan bertuah

Penyampaian Sijil dan Penghargaan serta Cenderamata

Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada penceramah jemputan, pihak PIBG, barisan pentadbir, guru-guru, ibu bapa serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Unit Bimbingan dan Kaunseling
SK Pulau Meranti


No comments: