Saturday, May 17, 2014

Kem Bestari Solat Fasa 2/2014

Pulau Meranti, 17 Mei 2014 - Kem Bestari Solat Fasa ke-2 bagi tahun 2014 telah berjalan dengan lancar pada pagi tadi. Program dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam, Puan Roshida binti Nayan. Ini diikuti dengan pembahagian tugas guru-guru sebagai fasilitator mengikut kelas. Pelbagai aspek berkaitan amali solat diajar dan diuji. Antaranya aspek bacaan doa dalam sembahyang, praktikal wuduk dan praktikal solat.

Taklimat ringkas di tapak perhimpunan

Praktikal wuduk

Praktikal amali solat

Friday, May 16, 2014

Sambutan Hari Guru 2014: Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi

Pulau Meranti, 16 Mei 2014 - Sambutan Hari Guru 2014 peringkat SK Pulau Meranti telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi. Hujan rahmat yang membasahi bumi Pulau Meranti sejak awal pagi mewujudkan suasana yang tenang dan damai. Bertemakan rona warna hijau, majlis dimulakan dengan bacaan Yaasin dan doa selamat sempena Hari Guru. Setelah itu, bacaan perutusan oleh GPK Pentadbiran, Encik Mohd Azmin bin Atan. Ucapan Guru Besar SK Pulau Meranti, Puan Siti Habsah binti Ahmad menyusul selepas itu. Slot seterusnya diisi dengan upacara bacaan ikrar guru serta nyanyian tiga buah lagu iaitu Negaraku,  Guru Malaysia dan Transformasi Pendidikan Negara. Sesi potong kek Hari Guru disempurnakan oleh Puan Guru Besar bersama barisan pentadbir.

Bacaan Yaasin dan doa selamat dipimpin oleh Ustaz Helmi
Ucapan oleh Puan Siti Habsah binti Ahmad, Guru Besar SK Pulau Meranti
Kek Hari Guru


Sketsa lakonan guru-guru serta persembahan deklamasi puisi dan nyanyian oleh murid-murid mewarnai persembahan pada pagi tadi. Enam anugerah khas diberikan kepada guru-guru serta staf berdasarkan undian oleh murid-murid. Anugerah Guru Penyayang Lelaki dirangkul oleh Encik Yusnizan bin Ahmad Marzuki. Bagi Guru Penyayang Wanita dianugerahkan kepada Puan Sugunah a/p Ramamoorthy. Encik Daud bin Aris mengungguli undian Guru Bergaya Lelaki bagi 4 tahun berturut-turut. Puan Rose Halina binti Jedin pula untuk kategori Guru Bergaya Wanita. Anugerah Guru Paling Popular dinobatkan kepada Encik Gopi a/l Rangaya. Untuk Anugerah Staf Paling Popular diberikan kepada Encik Bani Amin bin Haji Omar.

Pertandingan bola sepak antara guru dan murid

Pertandingan bola jaring

Pertandingan bola sepak dan bola jaring antara guru - murid merupakan acara kemuncak di padang. Dalam pertandingan bola sepak, pasukan guru telah menewaskan pasukan murid dengan jaringan 1 - 0. Majlis berakhir pada jam 12.05 tengah hari.

Selamat Hari Guru!


Wednesday, May 14, 2014

Bengkel Teknik Menjawab Kertas Soalan UPSR: Bahasa Inggeris.

Pulau Meranti, 14 Mei 2014 - Bengkel teknik menjawab kertas soalan Bahasa Inggeris UPSR telah dijalankan pada pagi tadi bertempat di dewan SK Pulau Meranti. Seramai 68 calon UPSR tahun ini yang merupakan murid-murid Tahun 6 mengikuti bengkel yang berjalan selama hampir 2 jam tersebut. Pelbagai teknik dikongsi oleh penceramah jemputan, Puan Kwa Jin Nee, Pegawai SISC+ dari PPD Sepang. Guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris turut mendengar tips daripada beliau. Fokus diberikan kepada teknik menjawab kertas 2 dalam konteks pembinaan ayat. Murid-murid kemudiannya membuat soalan latih-tubi bersama-sama dengan beliau. Semoga segala input yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua calon dan guru-guru Bahasa Inggeris. Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Kwa Jin Nee atas bimbingan dan nasihat yang bermanfaat dalam usaha meningkatkan prestasi kecemerlangan untuk kertas 014 - Bahasa Inggeris khususnya.

Murid-murid Tahun 6 khusyuk mengikuti bengkel bersama Puan Kwa Jin Nee

Latih tubi secara hands-on: formula TPAP untuk Bahagian A, Kertas 2

Monday, May 12, 2014

Word Mania Grand Finals: Tempat ke-3.

Pulau Meranti, 12 Mei 2014 - Muhammad Afiq Danish bin Hasniruddin dari kelas 2 Gemilang telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ke-3 dalam pertandingan Word Mania Grand Finals bagi kategori lower primary yang telah diadakan di Hotel Majestic Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dalam pertandingan itu, Muhamad Afiq Danish berentap bersama-sama 4 orang lagi murid dari seluruh Malaysia bagi merebut gelaran Juara. Tahniah diucapkan kepada Muhammad Afiq Danish kerana telah mengharumkan nama SK Pulau Meranti. Semoga kejayaan ini menjadi pendorong kepada murid-murid lain dan membuktikan bahawa SKPM juga boleh!

Muhammad Afiq Danish diraikan semasa perhimpunan rasmi sekolah pagi tadi

Tuesday, May 6, 2014

Peperiksaan Pertengahan Tahun

Pulau Meranti, 6 Mei 2014 - Hari ini merupakan hari kedua murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 menempuh peperiksaan pertengahan tahun. Murid-murid Tahun 1, 2 dan 3 menjalani pentaksiran PBS di kelas seperti biasa. Semoga segala usaha berjaya!

Murid-murid Tahun 5 Cemerlang tekun menjawab soalan peperiksaan

Semoga segala usaha berbaloi



Monday, May 5, 2014

SEKOLAH GANTI SEMPENA CUTI HARI RAYA AIDIL FITRI 2014

Sempena  Hari Raya Aidil Fitri 2014, sekolah akan mengambil cuti tambahan sebanyak 2 hari. Cuti tersebut perlu diganti seperti jadual di bawah:

Tarikh Cuti
Tarikh Ganti
Jadual
31 Julai 2014 (khamis)

10 Mei 2014
(Sabtu)
Khamis
1 Ogos 2014
(Jumaat)

21 Jun 2014
(Sabtu)
Jumaat

Cuti hari Raya Aidil Fitri ialah 26 Julai – 3 Ogos 2014 (9 hari)
Sila pastikan anak-anak tuan/puan hadir ke sekolah pada tarikh-tarikh yang tercatat di atas.

Sekian, terima kasih.

Friday, May 2, 2014

Majlis Persaraan GPK Kokurikulum: Au Revoir!

Pulau Meranti, 2 Mei 2014 - Majlis Persaraan GPK Kokurikulum SK Pulau Meranti, Puan Shamsiah Fakhih binti Abdullah telah diadakan dengan gilang-gemilang pada pagi tadi. Berkonsepkan 'Fairy Tale in the Garden', majlis yang bermula seawal jam 9 pagi tersebut dihadiri oleh Encik Zuhaimi bin Md. Nasir, Ketua Penolong PPD Pembangunan Kemanusiaan, PPD Sepang. Pelbagai persembahan mengisi slot aturcara, antaranya tarian oleh kumpulan Galang Maya, action song, bicara berirama dan nyanyian khas oleh murid-murid Tahun 6. Puan Shamsiah turut mencuri tumpuan hadirin apabila memberikan amanat terakhirnya dalam bentuk seloka. Puan Shamsiah mula berkhidmat di SK Pulau Meranti pada tanggal 1 Jun 2009 sebagai GPK Kokurikulum, menggantikan Puan Sariah binti Ahmad yang berpindah ke Perak. Selamat bersara, Puan Shamsiah! Terima kasih atas segala budi dan idea yang telah dicurahkan selama ini terutamanya dalam kluster kecemerlangan kokurikulum. Au Revoir, Madam! 

Tujuh orang guru dipilih membawa watak sebagai 'Fairy God Mothers'
membawa dulang hantaran

Merakamkan momen kenang-kenangan bersama guru-guru wanita

Au Revoir, Madam!