Friday, July 25, 2025

TEKNIK MENJAWAB SOALAN UJIAN AKHIR SESI AKADEMIK (UASA) TAHUN 6

SK Pulau Meranti telah melaksanakan Program Teknik Menjawab Soalan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) Tahun 6 pada 21, 23 dan 25 Julai 2025.

Untuk makluman, Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) merupakan salah satu bentuk pentaksiran sumatif yang dilaksanakan bagi menilai tahap penguasaan murid terhadap pembelajaran yang telah dilalui sepanjang tahun. 

Bagi memastikan murid Tahun 6 bersedia dari segi akademik dan mental untuk menghadapi UASA, program pendedahan teknik menjawab soalan secara sistematik dan berkesan telah dilaksanakan. Melalui program ini, murid telah diberikan bimbingan khusus oleh guru berpengalaman bagi setiap subjek utama bagi meningkatkan pencapaian mereka dalam peperiksaan.

Program ini menyasarkan semua murid tahun 6 SK Pulau Meranti bermatlamat melahirkan murid Tahun 6 yang lebih yakin, berpengetahuan dan bersedia sepenuhnya dalam menghadapi Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) melalui pendedahan teknik menjawab yang tepat dan efektif.

Objektif program ini dijalankan adalah:

1. Memberi panduan kepada murid tentang cara menjawab soalan mengikut format UASA.

2. Mendedahkan murid kepada teknik menjawab soalan secara terperinci bagi setiap subjek teras.

3. Meningkatkan keyakinan diri dan  motivasi murid menjelang peperiksaan.

4. Meningkatkan kemahiran pengurusan masa semasa menjawab soalan.

5. Menggalakkan sikap positif terhadap pembelajaran dan pencapaian akademik.

Program dimulakan dengan ucapan aluan oleh pengacara majlis, Cikgu Juli binti Mahbah dan ucapan oleh Guru Besar SK Pulau Meranti, Encik Khairil Anuar bin Othman.
Bacaan doa oleh Ustaz Sofian bin Abdullah memohon keberkatan majlis.
Isnin, 21 Julai 2025 - teknik menjawab UASA sesi 1 dimulai dengan matapelajaran Bahasa Melayu disampaikan oleh Cikgu Norazmah binti Che Omar dan Cikgu Rosidah biti Awang Lah.

Sesi kedua - teknik menjawab soalan UASA matapelajaran Bahasa Inggeris disampaikan oleh Sir Ridzuan Amir bin Mohamad dan Madam Nurhafizah binti Udin.

Teknik menjawab soalan UASA diteruskan bagi hari kedua - Rabu, 23 Julai 2025 dimulai dengan doa oleh Ustaz Sofian bin Abdullah dan ucapan serta kata semangat dari Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Rosmah binti Jamat
Sesi pertama bagi hari kedua, teknik menjawab soalan UASA bagi matapelajaran Matematik telah disampaikan oleh Cikgu Suriatie binti Che Lah 
 .
Sesi kedua pula, teknik menjawab soalan UASA matapelajaran Sains telah disampaikan oleh Cikgu Idayu binti Ayob dan Cikgu Hayati binti Kamis.


Program diteruskan lagi pada Jumaat, 25 Julai 2025 bagi matapelajaran Sejarah yang disampaikan oleh Cikgu Mohd Uzzair Amin bin Suhaidan dan Cikgu Siti Nurain binti Jalaluddin.

Majlis penutup dilaksanakan pada pukul 11.00 pagi dimulai dengan ucapan Guru Besar SK Pulau Meranti dan seterusnya, penyampaian sijil penghargaan serta cenderamata kepada semua penceramah yang terlibat. 
Semoga usaha ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa dan dapat memberi manfaat kepada murid Tahun 6, SK Pulau Meranti khususnya. Terima kasih diucapkan kepada semua warga kerja Program Teknik Menjawab Soalan UASA Tahun 6 Sesi 2025/2026. Jasa kalian dalam ingatan. 

Tahniah kepada semua murid Tahun 6 yang telah berjaya hadir dan memanfaatkan program ini. Semoga kalian terus sukses.


"TIADA JALAN SINGKAT UNTUK BERJAYA, TIADA JALAN MUDAH UNTUK BAHAGIA, TIADA JALAN SENANG UNTUK GEMBIRA, SEMUANYA MEMERLUKAN USAHA"

No comments: