15 November 2018 (Khamis) - Sebanyak 5 gerai disediakan sempena Hari Keusahawanan SK Pulau Meranti pada hari ini. Antaranya gerai di bawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam, Kelas 6 Wawasan, Pusat Sumber Sekolah dan Badan Kebajikan Guru & Staf. Gerai-gerai ini dikendalikan oleh murid-murid Tahun 6 dengan bimbingan guru-guru.
Program ini bertujuan membimbing murid-murid dengan kemahiran berniaga dan mendedahkan pengalaman mengurus gerai kepada pelajar di samping dapat menyemai sikap berdikari dan semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.
Tepat pada pukul 8.00 pagi, para peserta yang terdiri daripada kalangan murid tahun 6 sibuk menyediakan barangan jualan bertempat di dewan sekolah manakala pelajar yang tidak terlibat perlu berada di kelas masing-masing sambil menunggu giliran ke Pameran Haiwan Eksotik yang turut diadakan pada hari ini sehingga tiba waktu rehat. Para peserta kelihatan bersemangat ketika menyediakan barang-barang jualan di gerai masing-masing. Terdapat pelbagai aneka jualan yang dijual seperti steamboat, dadih, ais krim malaysia, buah potong, kerepek, air kotak, kek cawan, julan buku dan banyak lagi.
Semasa waktu rehat,murid-murid yang bertugas di gerai sibuk mempromosikan barang jualan masing-masing supaya pengunjung bertumpu di gerainya. Waktu rehat yang agak panjang membolehkan murid-murid lain membeli dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.
Program ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu mahu mendedahkan murid dengan bidang keusahawanan. Hari Keusahawanan ini juga salah satu aktiviti murid tahun enam selepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diadakan pada 24 hingga 27 September lalu.
Selain itu, program itu juga dapat membuka minda murid mengenai asas ekonomi dengan cara berniaga dan melatih murid membudayakan amalan berjimat cermat dalam berbelanja.
Pada pukul 1.00 petang, acara Hari Keusahawanan sampai ke penghujungnya. Sebelum itu, banyak gerai mengadakan jualan penghabisan stok sebelum menutup gerai masing-masing.
No comments:
Post a Comment